Tazkirah: Contoh Penggunaan Masa yang Optimum seorang Daie

01 May, 2007

Setiap orang manusia dikurniakan Allah 24 jam sehari untuk menjalankan kegiatan harian mereka. Sebagai seorang muslim, lebih-lebih lagi bagi mereka yang melakukan kerja dakwah hendaklah menggunakan masa mereka dengan sebaiknya. Di dalam Al-Quran Allah menerangkan agar manusia menghargai masa.”Demi masa, sungguh manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihat untuk kebenaran dan saling menasihat untuk kesabaran” (Al-Asr:1-3).

Di dalam rencana ini, ingin ana terangkan contoh-contoh penggunaan masa yang optimum bagi seseorang ikhwah yang belajar di universiti. Sebelum ana mula, ingin ana bawa beberapa hadith untuk kita renungi. Di dalam kehidupan seharian kita, hendaklah kita tidak membuang masa dengan sia-sia. Ini adalah “Ground Rule” kita yang utama. Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya”. Hadith ini hadis hasan. Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi dan lain-lain sedemikian. Insyallah dengan kita mengamalkan hadith ini, kita akan menggunakan masa dengan lebih baik.

“Ground Rule” kedua yang harus kita amalkan adalah seperti yang terdapat di dalam ayat ini, “Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain)” (Al-Insyirah: 7). Ayat ini amat terang jelas sekali maksudnya, jangalah kita membuang masa setelah selesai sesuatu urusan, tetapi tetap teruslah dalam melakukan urusan yang lain.

Antara perkara-perkara yang kita selalu habiskan masa ialah berbual perkara kosong dan tidak berfaedah. Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda “Barangsiapa yang beriman dengan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Hendaklah kita mengurangi percakapan kita kerana boleh jadi dengan banyaknya bercakap akan membawa kepada banyaknya dosa, dengan banyaknya dosa akan membawa ke neraka. Jadilah kita sebagaimana umar r.a, beliau akan berfikir terlebih dahulu sebelum memulakan percakapanya.

Kita juga boleh menjimatkan masa kita dengan meringkaskan penggunaan masa kita terhadap perkara-perkara yang harus seperti makan, shopping, bersiar-siar, mandi, chatting, surf web dan sebagainya.

Rata-rata setiap orang mengambil masa lebih kurang 20-30 minit untuk menuju ke universiti. Semasa tempoh ini, kita boleh menggunakannya untuk mendengar bacaan Al-Quran daripada mp3 kita bagi siapa yang ada, ataupun dalam tempoh masa ini, kita boleh gunakannya untuk baca mathurat, istighfar, bertasbih dan sebagainya.

Biasanya dalam sehari kita ada 4-5 jam lecture, tutorial dan lab. Untuk kita mengoptimumkan masa kita semasa di dalam kelas ini, adalah lebih baik bagi kita untuk membuat preparation sebelum ke kelas. Dengan ini kita akan lebih faham ketika belajar dan kita tidak akan membazir masa untuk mengulangi benda yang sama.

Walaupun setiap manusia dikurniakan 24 jam, namun keberkatan 24 jam bagi setiap manusia adalah berbeda. Pernah kita dengar ulama zaman dahulu mampu menulis berpuluh-puluh kitab dalam jangka masa hidup mereka. Kitab-kitab yang ditulis mereka adalah tebal dan berjilid-jilid. Kehidupan ulama ini bukanlah hanya untuk menulis kitab bahkan mereka setiap hari bertungkus lumus menyampaikan dakwah kepada manusia agar mentauhidkan Allah. Dengan sifat keihklasan ini, Allah telah mengurniakan keberkatan masa bagi mereka. Oleh itu hendaklah setiap muslim melakukan amalan dengan ikhlas dan berdoa agar setiap detik yang digunakan adalah berfaedah dan berkat.

Di dalam kita hendak melakukan amalan, hendaklah kita melakukan ia dalam turutan yang betul. Kita kena buat sesuatu yang lebih penting berbanding perkara yang kurang penting. Dahulukan kerja tarbiyyah kemudian baru kerja-kerja yang lain. Dahulukan yang wajib kemudian yang sunat. Begitulah caranya kita menyusun aktiviti kita.

Akhir kata, ana mengharapkan agar rencana ini menjadi peringatan buat kita semua lebih-lebih lagi buat diri ana. Diharap kita dapat lebih memanfaatkan masa kita sebaik-sebaiknya, Insyallah.


Read more...

Al-Quran Sumber Hiburan Daie

quranWahyu Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Kalam al-Quran adalah kalam yang lembut menyentuh sanubari, keras meragut kesedaran dan mantap memberi panduan dan galakan semangat. Rasulullah mendapat bimbingan terus daripada Allah swt. Sepanjang perjalanan dakwah baginda, hanya satu sumber ketenangan yang sentiasa bertiup ke dalam hati baginda. Itulah bimbingan motivasi dari Pengutus Rasul-rasul ke muka bumi, Allah Azza wa Jalla.

Lupakah kita tadabburi surah yang seringkali kita lafazkan diwaktu solat fardhu? Seakan-akan kita lupa pada lembutnya sapaan Tuhan pada rasulNya ketika turunya wahyu ini.

Demi waktu Dhuha. dan demi malam apabila telah sunyi (gelap),Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu. Dan Sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu , lalu (hati) kamu menjadi puas. Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu? Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan. Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu Berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu menghardiknya. Dan terhadap nikmat Tuhanmu, Maka hendaklah kamu siarkan. (ad-Dhuha)

Maha Tinggi Allah yang sentiasa memberikan ketenangan kepada baginda saw dalam kehidupannya. Akan tetapi bagi kita yang menyahut seruan dakwah dan menggelari diri sendiri dengan gelaran daie, apakah wahyu Allah ini menjadi sumber ketenangan kita. Adakah sumber lain yang menjadi mainan halwa telinga kita untuk menghiburkan jiwa rona dan lampias perasaan?

Alangkah ajaib, apabila mereka yang mengakui mengikuti dakwah Islamiah, mengutamakan hiburan duniawi lebih dari kalam Allah yang agung. Bukan sedikit hiburan dan irama nasyid yang berkumandang di corong computer yang mengalunkan lagu yang tidak jelas mesejnya, hanya sahaja ia digelari nasyid. Ungkapan ini adalah nasyid seolah-olah alasan tangkap-muat untuk justifikasi hiburan yang tidak melihat pada mesejnya, tapi sejauh mana munshidin mengalunkan suara pada vocal-vokal tertentu, sehebat mana paduan harmoni latar dan sebagainya.

Bukanlah Islam itu datang untuk mengharamkan perkara yang halal, cumanya mereka yang inginkan ketinggian di mata Allah swt pasti menghadkan perkara-perkara harus yang boleh menjerumuskan kepada kelalaian. Tidak terfikirkan kita pada kata-kata;

“Sesiapa yang inginkan darjat tertinggi di syurga, dia hendaklah berada di darjat yang tinggi dalam kehidupan dunia” (al-Muntalaq)

Lupakah kita pada al-Quran, kalam Allah yang sentiasa dijaga tahun demi tahun? Yang mana pencipta liriknya tidak pernah futur, susunan bahasanya indah mengkagumkan hatta mereka yang tidak memahaminya? Ingatkan kita pada hadith dari al-Mustafa tentang kalamullah ini;

“Bacalah Quran dan menangislah. Jika kalian tidak boleh menangis, maka usahakanlah untuk menangis” (dr Saad ibn Waqqash , hadith dalam al-Lulu wal Marjan).

gementar

Khusu’ ketika membaca al-Quran adalah cita-cita bagi setiap daie. Memang sukar untuk melaksanakannya, akan tetapi pengalaman berdakwahlah resepi utama kejayaan untuk khusu’ dalam sembahyang dan juga dalam mentadabburi al-Quran. Al-Quran ini jika diturunkan pada makhluk Allah yang lain, pasti akan leburlah ia kerana khusu’ dan takut pada Allah. Wahai daie serata dunia, renungkanlah ayat surah al-Hasyr ini! Jadilah gunung-gunung itu, kuat dan pasak pada bumi, tapi ,lebur tika takut pada PenciptaNya! Alangkah indah menjadi gunung!

Lihatlah pada ahli kitab yang beriman ketika mana mereka menghayati al-Quran;

83. dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu Lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Quran) yang telah mereka ketahui (dari Kitab-Kitab mereka sendiri); seraya berkata: "Ya Tuhan Kami, Kami telah beriman, Maka catatlah Kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Quran dan kenabian Muhammad s.a.w.).

84. mengapa Kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada Kami, Padahal Kami sangat ingin agar Tuhan Kami memasukkan Kami ke dalam golongan orang-orang yang saleh ?".

Al-Imam al-Ghazali berkata; Cara memaksakan diri untuk menangis ialah menghadirkan kesedihan ke dalam hati, kerana dari kesedihan inilah akan munculnya tangis. Rasulullah saw bersabda;

“Sesungguhnya al-Quran itu turun dengan kesedihan. Jika kalian membacanya, maka paksakanlah untuk bersedih” (dr Abu Nuaim).

Adakah lagi sebarang keraguan untuk menjadikan al-Quran sebagai peneman kita di mana sahaja kita berada? Adakah ada hiburan lain yang lebih hebat dari hiburan yang diturunkan untuk menenteramkan manusia dari Allah swt. Apakah ada yang bergelar daie masih berasa bosan mendengar bacaan al-Quran dan menyukai hiburan-hiburan lain sedang mereka berbaiah “al-Quran itu penunjuk kami”. Apakah masih ada yang mahu beralasan “kami tidak faham bahasa arab lantas ia tidak meresap dalam jiwa kami, dan kami lebih suka hiburan yang lain”. Maka oleh itu usahalah untuk mendengar ayat-ayatNya selalu. Latihlah setiap ketika, untuk selalu mendengar ayat-ayatNya. Bagaimana kita harapkan mampu khusu’ mendengarkan al-Quran apabila yang tercurah di telinga saban ketika hanyalah lagu-lagu lain. Mana mungkin mampu penghayatan jika hati-hati kita dibuai hiburan-hiburan lain?

Al-Quran adalah sumber asli untuk para daie. Biasakanlah hidup bersama al-Quran, nescaya jika anda hidup bersamanya, nikmat manisnya tidak terucap biar dengan ribuan kata-kata dan metafora.

Wallahu ‘alam.

Rujukan : al Quran al Karim, Bagaimana Berinteraksi dengan Al-Quran (Dr Yusuf al-Qaradawi)


Read more...