Tazkirah: Contoh Penggunaan Masa yang Optimum seorang Daie

01 May, 2007

Setiap orang manusia dikurniakan Allah 24 jam sehari untuk menjalankan kegiatan harian mereka. Sebagai seorang muslim, lebih-lebih lagi bagi mereka yang melakukan kerja dakwah hendaklah menggunakan masa mereka dengan sebaiknya. Di dalam Al-Quran Allah menerangkan agar manusia menghargai masa.”Demi masa, sungguh manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihat untuk kebenaran dan saling menasihat untuk kesabaran” (Al-Asr:1-3).

Di dalam rencana ini, ingin ana terangkan contoh-contoh penggunaan masa yang optimum bagi seseorang ikhwah yang belajar di universiti. Sebelum ana mula, ingin ana bawa beberapa hadith untuk kita renungi. Di dalam kehidupan seharian kita, hendaklah kita tidak membuang masa dengan sia-sia. Ini adalah “Ground Rule” kita yang utama. Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya”. Hadith ini hadis hasan. Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi dan lain-lain sedemikian. Insyallah dengan kita mengamalkan hadith ini, kita akan menggunakan masa dengan lebih baik.

“Ground Rule” kedua yang harus kita amalkan adalah seperti yang terdapat di dalam ayat ini, “Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain)” (Al-Insyirah: 7). Ayat ini amat terang jelas sekali maksudnya, jangalah kita membuang masa setelah selesai sesuatu urusan, tetapi tetap teruslah dalam melakukan urusan yang lain.

Antara perkara-perkara yang kita selalu habiskan masa ialah berbual perkara kosong dan tidak berfaedah. Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda “Barangsiapa yang beriman dengan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Hendaklah kita mengurangi percakapan kita kerana boleh jadi dengan banyaknya bercakap akan membawa kepada banyaknya dosa, dengan banyaknya dosa akan membawa ke neraka. Jadilah kita sebagaimana umar r.a, beliau akan berfikir terlebih dahulu sebelum memulakan percakapanya.

Kita juga boleh menjimatkan masa kita dengan meringkaskan penggunaan masa kita terhadap perkara-perkara yang harus seperti makan, shopping, bersiar-siar, mandi, chatting, surf web dan sebagainya.

Rata-rata setiap orang mengambil masa lebih kurang 20-30 minit untuk menuju ke universiti. Semasa tempoh ini, kita boleh menggunakannya untuk mendengar bacaan Al-Quran daripada mp3 kita bagi siapa yang ada, ataupun dalam tempoh masa ini, kita boleh gunakannya untuk baca mathurat, istighfar, bertasbih dan sebagainya.

Biasanya dalam sehari kita ada 4-5 jam lecture, tutorial dan lab. Untuk kita mengoptimumkan masa kita semasa di dalam kelas ini, adalah lebih baik bagi kita untuk membuat preparation sebelum ke kelas. Dengan ini kita akan lebih faham ketika belajar dan kita tidak akan membazir masa untuk mengulangi benda yang sama.

Walaupun setiap manusia dikurniakan 24 jam, namun keberkatan 24 jam bagi setiap manusia adalah berbeda. Pernah kita dengar ulama zaman dahulu mampu menulis berpuluh-puluh kitab dalam jangka masa hidup mereka. Kitab-kitab yang ditulis mereka adalah tebal dan berjilid-jilid. Kehidupan ulama ini bukanlah hanya untuk menulis kitab bahkan mereka setiap hari bertungkus lumus menyampaikan dakwah kepada manusia agar mentauhidkan Allah. Dengan sifat keihklasan ini, Allah telah mengurniakan keberkatan masa bagi mereka. Oleh itu hendaklah setiap muslim melakukan amalan dengan ikhlas dan berdoa agar setiap detik yang digunakan adalah berfaedah dan berkat.

Di dalam kita hendak melakukan amalan, hendaklah kita melakukan ia dalam turutan yang betul. Kita kena buat sesuatu yang lebih penting berbanding perkara yang kurang penting. Dahulukan kerja tarbiyyah kemudian baru kerja-kerja yang lain. Dahulukan yang wajib kemudian yang sunat. Begitulah caranya kita menyusun aktiviti kita.

Akhir kata, ana mengharapkan agar rencana ini menjadi peringatan buat kita semua lebih-lebih lagi buat diri ana. Diharap kita dapat lebih memanfaatkan masa kita sebaik-sebaiknya, Insyallah.

0 comments: