Antara Dakwah dan Ibubapa? Mana lebih utama?

28 November, 2008

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt.

Perihal ibubapa telah menjadi aspek yang sangat hangat di dalam dakwah ini sejak dahulu lagi. Pertembungan antara kehendak dakwah dan kehendak ibubapa sering menjadi permasalahan di kalangan ikhwan mahupun akhwat. Makanya kami akan mengeluarkan pendapat kami bahkan ini adalah pegangan kami berkaitan perkara ini. Adapun bagi sesiapa yang berseberangan dengan pendapat ini, maka hendaklah baginya mengemukakan dalil dan hujah yang nyata dan berkomitmen dengan disiplin ilmu kerana itulah yang dianjurkan oleh Allah swt di dalam firmanNya:

“Katakanlah (Muhammad), ini adalah jalanku, mengajakmu kepada Allah, dengan hujah yang nyata…”
( Yusuf 12:108)



Ibu bapa menurut Al Quran

Sesungguhnya ibu bapa memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Islam. Terdapat banyak ayat Al Quran yang memerintahkan kita berlaku baik terhadap kedua ibu bapa.

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. [al-Nisa’ 4:36]

Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibubapa.” [al-An’aam 6:151]

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. [al-Isra’ 17:23]

Jika kita perhatikan ayat ayat di atas makanya kita akan mendapati bahawa sesudah perintah untuk mentauhidkan Allah, maka Allah memerintahkan kita untuk berbakti kepada kedua ibu bapa. Ini merupakan ukuran bahawa betapa besarnya kedudukan ibu bapa di sisi Islam.

Perihal berbuat baik kepada ibu bapa juga adalah sesuatu yang dipentingkan bagi Bani Israel;
Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa.” [al-Baqarah 2:83]

Demikian juga Luqman, apabila beliau menasihati anaknya, berbuat baik kepada ibubapa diletakkannya di tangga kedua selepas tauhid:

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya.” [Luqman 31:13-14]

Pengulangan makna ayat ayat di atas menunujukkan betapa pentingnya nilai ajaran yang terkandung di dalamnya, yang memerintahkan manusia untuk memusatkan perhatian untuk mengamalkannya.

Keutamaan Berbakti Kepada Kedua Ibubapa

Terdapat banyak keutamaan berbakti kepada kedua ibu bapa. Salah satunya ialah doa kita akan dimakbulkan oleh Allah swt.
Usair bin Jabir berkata:

Biasanya ‘Umar al-Khaththab apabila datang pasukan (pejuang) bantuan daripada Yaman, dia akan bertanya kepada mereka sama ada di kalangan mereka ada seorang yang bernama Uwais bin ‘Amar. Sehingga ke satu ketika beliau bertemu dengan Uwais bin ‘Amar.

Lalu beliau bertanya: “Andakah Uwais bin ‘Amar?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Daripada Murod, kemudian daripada Qarn?”

“Ya” jawab orang tersebut.

‘Umar bertanya lagi: “Apakah anda memiliki belang (di badan) lalu kamu sembuh kecuali satu bahagian sebesar duit sedirham?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Adakah anda memiliki ibu?”

Orang itu menjawab: “Ya.”.

Lantas ‘Umar berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murod, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.”




Berkata ‘Umar: “Mintakanlah ampun untuk aku.”

Maka Uwais meminta ampun untuk ‘Umar

(Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2542 )
Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Ketika tiga orang sekawan sedang berjalan, mereka ditimpa hujan lalu mengambil perlindungan dalam sebuah gua di sebuah gunung. Kemudian sebuah batu besar dari gunung tersebut jatuh di mulut gua dan mengurung mereka di dalamnya. Maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain:

“Berfikirlah tentang amal shalih yang pernah kalian lakukan semata-mata kerana Allah, kemudian berdoalah kepada Allah dengan bertawasul melalui amal tersebut, semoga Allah memberi jalan keluar dengannya.”

Maka berkata salah seorang daripada mereka:

“Ya Allah! Sesunguhnya aku mempunyai ibubapa yang sudah sangat lanjut usia,
seorang isteri dan anak-anak kecil yang masih aku pelihara. Saat aku pulang ke rumah pada waktu petang sambil membawa ternakanku kepada mereka, aku memerah susu. Aku biasanya memberi minum ibubapaku sebelum anak-anakku. Suatu hari, tempat aku mengembala amat jauh sehingga aku hanya sempat pulang ketika hari sudah amat lewat petang. Aku dapati ibubapaku sudah tidur. Aku memerah susu seperti biasa, membawa bekas berisi susu dan berdiri di samping ibubapaku. Aku tidak suka membangunkan kedua-duanya dan aku pula tidak suka memberi minum anak-anakku sebelum kedua-duanya, sekalipun anak-anakku menangis di kakiku kerana kelaparan. Keadaanku dan anak-anakku berterusan sehingga fajar menyinsing. Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal itu semata-mata kerana mencari Wajah-Mu, maka berilah kami satu bukaan untuk melihat langit (dari dalam gua tersebut).” Maka Allah memberikan bukaan pada batu tersebut sehingga mereka dapat melihat langit.
(Sahih: Sebahagian daripada hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5974)

Balasan Derhaka Kepada Kedua Ibu Bapa

Sabda Rasulullah bermaksud: "Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.”

Abi Bakrah radhiallahu 'anh berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah bertanya tiga kali:

“Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”

Mereka (para sahabat) menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!”

Baginda menjelaskan: Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan, bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu. Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2654 (Kitab al-Syahadat, Bab apa yang diperkata berkenaan sumpah palsu)

Derhaka kepada ibu adalah lebih berat dosanya, berdasarkan sebuah hadis lain dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengkhususkan larangan berbuat derhaka kepada seorang ibu:

Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kalian menyebarkan gosip, banyak bertanya dan mensia-siakan hartaSahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5975 (Kitab al-Adab, Bab derhaka kepada ibubapa termasuk dosa besar).

Yang dimaksudkan dengan derhaka adalah apa sahaja perbuatan yang bertentang dengan berbuat baik dan ihsan. Antaranya, meninggikan suara, menggunakan perkataan yang kasar, sinis dan menyinggung perasaan, tidak memenuhi permintaan mereka (selagi mana ia bukan sesuatu yang bertentangan secara jelas dengan syari‘at Islam) dan membiarkan mereka dalam keadaan memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani. Seorang ibu yang menangis dan seorang ayah yang termenung dalam konteks berinteraksi dengan anak lazimnya adalah isyarat bahawa mereka telah diderhakai.

‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma pernah menerangkan bahawa dosa-dosa terbesar ada sembilan, iaitu:

Mempersekutukan Allah, membunuh orang lain (tanpa hak), melarikan diri daripada pertempuran, memfitnah seorang wanita (dengan tuduhan zina), memakan riba’, memakan harta anak yatim, berbuat maksiat dalam masjid, menghina ibubapa dan (menyebabkan) ibubapa menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua).
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 8 dan ia
dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2898

Mengatakan ‘Ah’ Kepada Ibubapa adalah Dosa Besar

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu janganlah menyembah kecuali Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kamu. Jika salah seorang atau kedua-duanya sudah mencapai usia tua di bawah jagaanmu, maka jangan kamu sekali-kali menyatakan kepada mereka walaupun perkataan ‘ah’. Dan janganlah kamu mengherdik mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia (lagi sopan). Dan rendahkanlah diri kamu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan sambil berdoa, “Ya Tuhanku kasihanilah mereka berdua, seperti mereka berdua mencurahkan kasih sayang mendidik aku ketika kecil.” (Surah al-Israa, ayat 23 dan24)

Al-Dailami meriwayatkan di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Jika ada suatu dosa yang lebih rendah daripada ucapan ‘ah’ kepada kedua-dua ibu bapa, maka sudah tentu Dia akan melarangnya. Maka orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapa itu boleh buat apa saja yang dia kehendaki, namun dia pasti tidak akan masuk syurga. Begitu pula orang yang mentaati kedua-dua ibu bapanya, boleh lakukan apa saja, maka pasti dia tidak akan masuk neraka.”

Berbakti kepada kedua ibubapa adalah lebih utama berbanding jihad


Diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar berkata: "Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: "Apakah perbuatan disukai oleh Allah?" Lalu Baginda bersabda: "Sembahyang pada waktunya." Kemudian apa?" tanya saya lagi. Baginda menjawab: "Berbakti kepada kedua ibu bapa." Saya bertanya: "Apa lagi." Jawab Baginda: "Berjihad pada jalan Allah."

Wajib Memohon Izin Ibubapa Untuk Berjihad (Perang)

Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata:

Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?” Dia menjawab: “Ibubapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?”
Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.”
Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – no: 2530 (Kitab Jihad, Bab Berkenaan seorang lelaki yang berperang tetapi tidak disukai oleh ibubapanya).

Berkata al-Syaukani rahimahullah berkenaan hadis di atas:

Dalam hadis (di atas) terdapat petunjuk bahwa berbuat baik kepada ibubapa adalah lebih utama daripada berjihad. Manakala sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah di dalamnya terkandung dalil bahawa wajib (hukumnya) meminta izin ibubapa di dalam urusan berjihad dan yang sedemikian adalah pendapat jumhur ulama’. Dan mereka memutuskan dengan keharaman berjihad jika kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka menegah (anak mereka) daripada berjihad kerana sesungguhnya berbuat baik kepada ibubapa adalah fardhu ‘ain manakala jihad adalah fardhu kifayah. Akan tetapi apabila hukum jihad jatuh fardhu ‘ain maka tidak perlu meminta izin (daripada mereka berdua)
(Nail al-Authar, jld. 4, ms. 687)

Tidak Dibenarkan Berhijrah Sekiranya Ibubapa Tidak Redha

‘Abd Allah ibn ‘Amr radhiallahu 'anh menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata:

“Sesungguhnya aku datang untuk memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada engkau untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya: “Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.” Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 4163 (Kitab al-Bai‘ah, Bab berbai‘ah untuk hijrah).

Perintah Dakwah atau Perintah Ibubapa, Mana Lebih Utama?

Mentaati perintah dakwah (murobbi, mas’ul, amir) dan mentaati perintah ibubapa masing masing mempunyai dalil tentang kewajibannya selagimana tidak bertujuan untuk bermaksiat kepada Allah swt. Makanya harus dicari jalan tengah diantara keduanya. Tidak boleh meninggalkan dakwah kerana kehendak ibubapa ataupun tidak boleh menderhaka kepada kedua ibubapa kerana dakwah.

Tetapi harus diingat, di dalam Islam, hijrah dan jihad sering digandingkan di dalam Al Quran melambangkan betapa tingginya amalan tersebut di sisi Islam. Tentang urusan tersebut pun Islam memerintahkan kita untuk mendapat kebenaran ibubapa. Apatah lagi tentang urusan urusan yang lebih kecil seperti menghadiri daurah, mendapatkan kerja, memilih pasangan dan lain lagi yang bersifat ijtijhad semata dan bukanlah larangan untuk meninggalkan dakwah secara langsung.
Kami tidak mengatakan bahawa urusan urusan kecil di atas adalah sesuatu yang perlu dipandang enteng bahkan diabaikan. Andai terdapat tentangan ibubapa berkaitan perkara di atas, makanya setiap kader dakwah harus dengan lemah lembut dan penuh hikmah menerangkan perkara sebenar kepada ibu bapa, mungkin ibu bapa tidak mengerti. Seandai mereka berkeras, maka bersabarlah dan taatilah.

Yang Kita Harapkan Hanyalah Usaha, Bukan Hasil.

Apabila ada kader dakwah kita berhadapan dengan situasi di atas, yang kita harapkan adalah usaha yang bersungguh sungguh untuk memahamkan ibubapa atas setiap keputusan yang kita buat. Dalam usaha kita mahu memahamkan ibubapa pun, perlulah beserta dengan lemah lembut dan penuh hikmah. Andaikata usaha itu berhasil, maka segala puji bagi Allah, jika tidak kita kembalikan urusan ini kepada Allah dan taatilah kehendak ibubapa.

Tawadhu’lah Pada Ketentuan Allah

Sesungguhnya di dalam dakwah ini kita banyak melakukan perancangan perancangan untuk melancarkan lagi dakwah kita. Berbagai meeting diselenggarakan untuk memastikan dakwah ini terus berkembang lancar. Tetapi haruslah kita merendah diri bahawa sesungguhnya segala urusan kembali kepada Allah swt. Setelah meletakkan segala usaha, jika Allah berkehendak lain, maka tawadhu’ lah kepada ketentuan Allah swt. Itu adalah yang paling baik kerana Allahlah yang empunya segala urusan.
Andaikata ketentuan tersebut memerlukan kita untuk rearrange segalanya, maka usahakanlah sebaiknya, kerana kita tidak diperintahkan melainkan untuk berusaha. Kita sebagai qiyadah dakwah, haruslah menggali segala potensi di dalam berbagai kondisi yang kita hadapi. Setiap dari kita akan menghadapi pelbagai ujian, baik yang ringan mahupun yang berat. Makanya kita selalu mengharapkan dari Allah untuk memberikan yang terbaik buat kita.

Perintah Dakwah adalah Amanah

Sebagai seorang yang diamanahkan dengan sesuatu tugasan dakwah, maka ia merupakan satu amanah yang perlu dipikulnya. Andaikata terdapat sebarang keuzuran, maka wajib baginya untuk memikirkan segala mekanisme yang ada bagi menjalankan amanah tersebut. Sebagai contoh, seorang kader dakwah yang tidak dapat menghadiri daurah ketika cuti di atas sebab yang syari (parents tidak mengizinkan, sakit etc) , dan di dalam daurah tersebut beliau dikehendaki menjalankan sesuatu tugas, maka beliau boleh meminta tolong teman kader yang lain untuk menjalankannya. Kami mengharapkan tulisan kami ini tidak dijadikan hujah bagi orang yang lemah imannya untuk mengabaikan tangunggjawab dakwah. Naudzubillah.

Kesimpulan

Kami mengatakan bahawa tidak boleh bagi kita menderhaka kepada ibubapa bagi urusan dakwah kerana ia bertentangan dengan syariat Islam. Makanya, wajib bagi kita untuk mencari jalan tengah agar kedua dua belah pihak mendapat keuntungan. Dan andai untuk mencapai keuntungan tersebut, dakwah perlu berkompromi, maka itu adalah yang sewajarnya. Sebagai sebuah jemaah dakwah, kita wajib mementingkan keredhaan ibubapa kader dakwah kita bagi menjamin keredhaan Allah swt. Kejayaan sebuah gerakan dakwah bukanlah bergantung kepada betapa bagusnya perancangannya, atau betapa hebat pimpinannya tetapi hanyalah atas bantuan dan keizinan Allah swt semata.

Kami sedar bahawa kami jauh dari kesempurnaan apabila menyentuh tentang isu keluarga ini. Makanya dengan itu, marilah kita berdoa kepada Allah agar kita semua dapat memberikan yang terbaik di dalam dakwah dan tidak lupa juga kepada keluarga kita. Yang kami harapkan hanyalah keredhaan Allah swt dan berharap agar dakwah ini sentiasa berjalan di atas syariatNya. Wallahua’lam.
Al faqir ila Rabbih,

Mohd Sahrularifin Ab Manan
Adli Azimi Abd Rahman
Abdul Hafidz b Yusuf

“Ya Allah, sudah kami sampaikan. Saksikanlah"


Read more...

Ya'juj & Ma'juj

08 November, 2008

Bismillah…
Just nak share apa yang ana dapat bila baca buku “Ya’juj & Ma’juj Sudah Muncul di China?” karangan Syaikh Hamdi Abu Zaid (Anggota Penasehat Kerajaan Arab Saudi). Penulis telah melakukan kajian dan penelitian atas berbagai sumber, fakta, dan bukti otentik. Kemudian, dengan ‘ijtihad’ yang cukup berani, penulis telah membuat kesimpulan bahawa:

1. Dzulqarnain yang disebutkan dalam surah al-kahfi: 83 – 98 adalah Akhnaton, raja Mesir kuno yang terkenal.

2. Akhnaton sendiri merupakan anak kepada Firaun Amnahotab III yang tenggelam dalam laut Merah semasa mengekori Nabi Musa dan pengikutnya.

3. Dzulqarnain adalah yang dimaksud dengan lelaki beriman dari keluarga Fir’aun sebagaimana dalam surah Al’-Mu’min: 28 – 33.

4. Dzulqarnain adalah nabi yang diutus kepada rakyat negeri China

5. Tembok yang dibangun oleh Dzulqarnain saat ini masih wujud di Zhenhou, China

6. Ya’juj dan Ma’juj adalah penduduk Benua Kuda (benua Asia) yang hidup di wilayah China dan sekitarnya.



Awal buku ni menceritakan siapa sebenarnya Dzulqarnain (Anakhton) n bagaimana beliau berhijrah ke China. Jika melihat kepada ayat 40: 28 – 33, pastinya kita akan tertanya-tanya siapakah pemuda beriman di kalangan keluarga Firaun tersebut dan pastinya kita akan merasa hairan mengapa pembesar Firaun tidak mencadangkan kepada Firaun untuk menghukum pemuda tersebut malah Firaun sendiri hanya menerima kata-kata tegas pemuda tersebut tanpa ingin menghukumnya. Perkara ini amatlah bersesuaian dengan fitrah kebapaan yang terdapat pada diri Firaun tersebut terhadap anaknya, Anakhton aka Dzulqarnanin.

Penulis kemudian menceritakan bagaimana perjalanan Anakhton @ Dzulqarnain ke negeri China dan bagaimana beliau diutus kepada bangsa China (sebagaimana ayat dalam surah al-kahfi). Sangat seronok bila baca buku ni sebab kita belajar sejarah menggunakan al-quran.

Di akhir buku ini, penulis menghuraikan ciri-ciri bangsa Ya’juj dan Ma’juj. Penduduk Benua kuda (Ma’juj) yang dimaksudkan ialah penduduk Mongolia yang memang terkenal dengan kebengisan dan ketangkasan berkuda n bangsa kawasan-kawasan sekitarnya macam Pakistan, kygyrstan dll. If kita tengok balik fakta sejarah, kaum Mongol ni memang terkenal dengan keganasan dan kekejaman mereka. Sewaktu diperintah oleh raja Genghis Khan, mereka telah berbuat kerosakan di muka bumi ini dengan melakukan penjajahan dan pembunuhan termasuklah di bumi islam. Kaum Ya’juj (benua Asia) yang dimaksudkan pula ialah bangsa-bangsa macam Jepun, Korea Selatan, sekitar Negara China dll.

Mungkin setakat ni jelah kot yang dapat ana share. Untuk tahu lebih lanjut boleh r beli ke, pinjam ke buku ni. Tak rugi rasanya. Wajar2 saja penulis salah dalam membuat kesimpulannya kerana sebagai manusia biasa beliau juga tidak terlepas dari membuat agakan2 yang meleset. Wallahu a’lam.


Read more...